Semasa

Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga bekas Panglima ATM

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera kelapan Jeneral (B) Tan Sri Mohd Ghazali Che Mat yang meninggal dunia, semalam.

Istana Negara dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya, menyatakan Seri paduka Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu.

“Seri Paduka Baginda selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada ATM dan negara.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempat bersama para solihin,” menurut kenyataan itu.

Mohd Ghazali yang lahir pada 17 Disember 1930, di Lenggong, Perak pada awal pembabitan bersama ATM telah memulakan latihan Pra-Pegawai Kadet di Federation Military School (FMC) di Port Dickson, Negeri Sembilan pada tahun 1953.

Allahyarham telah terpilih untuk menjalani Kursus Pegawai Kadet di Eaton Hall Cadet School, England selama 6 bulan. Selain itu beliau juga bersama lima Pegawai Kadet dari Tanah Melayu pernah terpilih untuk meneruskan latihan di Royal Military Academy Sandhurst selama 18 bulan bermula 1954.

Allahyarham yang memulakan perkhidmatan di Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu DIraja (2 RAMD) sebagai Ketua Platun pernah dikurniakan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 1958 dan merupakan antara lima orang menerima pingat itu dalam sejarah ATM.

Pada tahun 1984, Allahyarham pernah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat bagi tempoh setahun hingga tahun 1985, sebelum dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera kelapan dari tahun 1985 hingga 1987.

Selepas bersara, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Boustead Holdings Bhd dan Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).

OIeh Azzman Jamal

Related Articles

Back to top button