Semasa

Adik sudah dikebumi di Melaka

Disemadikan di Jasin

JASIN : Jenazah kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang ditemukan lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya di Jasin Jumaat lepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh di sini, kira-kira 12.40 tengah hari ini.

Jenazah dituntut keluarga kandung ibunya di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka kira-kira 10.05 pagi tadi dan disolatkan di Surau Madrasah As Syakirin sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang terletak 600 meter dari rumah datuk kandung kanak-kanak itu.

Menurut BERNAMA pengebumian yang dikawal ketat oleh pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Awam dan Angkatan Pertahanan Awam itu turut dihadiri ahli keluarga kandung dan keluarga angkat kanak-kanak itu, namun pihak media tidak dibenarkan masuk ke perkarangan tanah perkuburan tersebut atas permintaan keluarga kandung kanak-kanak itu.

Sementara itu, ibu angkat kanak-kanak itu Norlida Abu Hassan, 50, ketika ditemui pemberita berkata meskipun arwah tidak disemadikan di Selangor, namun dia sekeluarga tetap akan menziarahi pusara anak angkatnya yang mesra dipanggil ‘adik’.
Jumaat lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut, dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya, dalam satu kejadian di Taman Krubong Jaya di sini.

Kanak-kanak itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira 4 petang, namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Mangsa sebelum ini dibesarkan keluarga angkatnya yang tinggal di Rawang, Selangor ketika masih bayi sebelum ibu kandung mangsa mengambilnya semula untuk dijaga, pada Oktober tahun lepas. – BERNAMA

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button