KesihatanSemasa

Adakah dayus suami biar doktor lelaki sambut isteri bersalin?

KUALA LUMPUR: Tular minggu ini video seorang penceramah bebas, Siti Afifah Shahbudin di media sosial yang melabelkan golongan suami sebagai dayus kerana membenarkan doktor lelaki melihat kemaluan isteri ketika menyambut kelahiran bayi. 

Video itu mengundang pelbagai reaksi dan pendapat daripada orang ramai mengenai isu yang telah dibangkitkan.

Perkara ini sudah lama diperkatakan namun ia masih menimbulkan tanda tanya dalam kalangan wanita kerana ia melibatkan aurat seorang wanita. Banyak pihak tidak mahu kelahiran bayi mereka disambut oleh doktor lelaki dan sanggup menunggu doktor wanita sehingga menimbulkan kemudaratan kepada bayi. 

Menjawab kepada isu ini, terdapat perkongsian soal jawab pembaca menerusi laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tidak dibenarkan di sisi Hukum Syarak bagi lelaki untuk melihat kepada aurat wanita ajnabi, melainkan terdapat ḥājah (keperluan) dan ḍarurah (keperluan mendesak) untuknya. Antara bentuk pengecualian ialah rawatan al-faṣdu (venesection, venipuncture, phlebotomy), berbekam dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan ḥaraj (kesukaran) sedangkan ḥaraj dihilangkan oleh Syarak. 

Tambahnya, harus bagi lelaki merawat wanita dan wanita merawat lelaki, dengan syarat jika wujud perawat yang muslim, maka tidak boleh digantikan, ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang thiqah (terpercaya), ketiadaan perawat wanita, atau perawat lelaki bagi pesakit lelaki dan perawat boleh melihat kepada bahagian-bahagian badan selama mana ada keperluan kepadanya sahaja. 

Jadi, termasuklah dalam kategori rawatan ini adalah menyambut kelahiran kerana ia melibatkan nyawa ibu dan juga anak.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengesyorkan agar semua dawabit atau syarat-syarat yang dinyatakan di atas hendaklah dipatuhi bagi memastikan ketenangan bagi pihak pesakit, hospital dan juga keluarga.

Related Articles

Back to top button