DuniaSemasa

75 kanak-kanak terbunuh, 1,000 ditahan sejak rampasan kuasa Myanmar

PBB lapor tembakan rawak dan pembunuhan besar-besaran dalam kawasan penduduk

NAYPYIDAW : Kejam dan jijik, itulah yang boleh digambarkan dengan tindakan tentera Myanmar membunuh puluhan kanak-kanak tidak berdosa, manakala ribuan lagi ditahan secara rawak sejak rampasan kuasa lima bulan lalu.

Ketua Jawatankuasa Hak Asasi Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mikiko Otani melaporkan pihaknya menerima maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai memaklumkan 75 kanak-kanak dibunuh dan kira-kira 1,000 orang ditangkap sejak Februari.

“Anak-anak di Myanmar sedang dikepung dan berdepan dengan ancaman maut ekoran rampasan kuasa tentera berlaku,” kata  Mikiko Otani dalam satu kenyataan.

“Bukan itu sahaja, kanak-kanak terdedah kepada keganasan tanpa mengira siapa, penembakan secara rawak dan penangkapan tanpa usul periksa berlaku hampir setiap hari,” ujarnya.

Rata-rata penduduk Myanmar digasak oleh pasukan tentera sejak rampasan kuasa yang menggulingkan tampuk pimpinan Aung San Suu Kyi.

Semalam, merujuk pada portal berita Myanmar Now, dilaporkan dua kanak-kanak bawah umur, masing-masing berusia 12 dan 15 tahun adalah antara tujuh penduduk kampung yang ditahan dan didakwa memilik bahan letupan di wilayah Mandalay.

Bukan sahaja ditangkap dan dibunuh, akses sumber air minum dan makanan yang selamat untuk kanak-kanak di luar bandar turut diganggu.

PBB turut menerima laporan bahawa segala fasiliti dan kemudahan yang disediakan seperti hospital, sekolah dan institusi agama habis musnah dihancurkan pasukan tentera Myanmar.

-Al Jazeera

Diterjemah oleh : Nurshazlin Shahrom

 

Related Articles

Back to top button