Semasa

6 remaja selamatkan rakan dibaham buaya

Pukul buaya dengan tangan

TUARAN : Seorang remaja lelaki terselamat daripada dibaham buaya selepas enam rakannya ‘membelasah’ haiwan tersebut di Sungai Kampung Mengkabong di Tuaran, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim berkata mangsa Azlan Arif Abdullah,16, cedera di bahagian badan, kaki kanan dan perut dalam kejadian jam 3.30 petang.

Katanya, buaya berukuran kira-kira 1.52 meter panjang itu menyerang dan menggigit salah seorang kumpulan remaja dan kanak-kanak yang berumur antara sembilan dan 16 tahun ketika mereka sedang mencari lokan dan siput di sungai berkenaan.

“Mereka kemudiannya memukul buaya tersebut dengan apa sahaja yang ada di tangan sehingga salah seorang mereka berjaya mencederakan mata buaya itu yang menyebabkannya melepaskan mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama, di Tuaran.

Mohd Hamizi berkata mangsa tinggal berhampiran dengan sungai paya bakau tersebut.

Katanya, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuaran dan akan dirujuk ke Hospital Kota Belud atau Hospital Papar untuk rawatan lanjut berikutan kecederaan teruk yang dialami. – BERNAMA

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button