Semasa

Beri ruang kepada mahkamah :IKRAM

Sabar tunggu prosiding mahkamah selesai

KAJANG 20 Mac : Pelbagai spekulasi wujud selepas salah seorang kakitangan Pertubuhan Ikram Malaysia, IKRAM, didakwa kerana membunuh akan sekerjanya semalam.

Bagaimanapun Pertubuhan IKRAM Malaysia tampil menyeru semua pihak termasuk ahli-ahli IKRAM untuk memberikan ruang sepenuhnya kepada mahkamah bagi mengadili kes kematian kakitangannya, Nik Khatijah Nik Mud, menurut undang-undang.

IKRAM dalam satu kenyataannya hari ini (Sabtu ) berkata pertubuhan itu memandang serius atas apa yang berlaku dan akan berusaha bagi memastikan kebajikan kedua-dua belah pihak terpelihara. Malah IKRAM juga akan meningkatkan langkah-langkah kawalan dalaman bagi memastikan keselamatan semua kakitangannya terjaga.

Kenyataan media oleh Presiden IKRAM, Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad juga menjelaskan pertubuhan itu
mengikuti secara dekat berita mengenai kakitangannya yang telah dituduh di Mahkamah Majistret Kajang dalam kes kematian Almarhum Nik Khatijah.
Pada masa yang sama, Dr Hj Mohd Parid berkata IKRAM sentiasa percaya bahawa seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah oleh mahkamah, dan menyakini masyarakat dapat berpegang pada prinsip yang sama.
“Justeru, IKRAM berharap ahli-ahli IKRAM khasnya dan semua pihak dapat bersabar sementara menanti prosiding kes selesai di mahkamah dan memohon agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum pasti bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada perjalanan prosiding kes.”

Semalam, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, atas tuduhan membunuh Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Nik Khatijah dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Hasbullah Ismail, 56, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazli Md Sain berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengurus di IKRAM didakwa membunuh Nik Khatijah, 32, di sebuah rumah di Taman Bangi Jalan Reko  antara jam 11 malam pada 5 Mac hingga jam 3 pagi pada 6 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

IKRAM sebelum ini memberi kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung kematian seorang kakitangannya dalam sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang, 8 Mac lalu.

“Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT memohon agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan.” – Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad / Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button