Semasa

2 anak kapal MV Dagang Topaz maut

127 terjun ke laut sebaik rempuhan

KUCHING : Seorang lagi anak kapal platfom MV Dagang Topaz, meninggal dunia menjadikan seramai dua orang maut dalam kejadian kapal paltform merempuh pelantar minyak di perairan Kuala Baram pada Selasa (27/10).

Perkara itu disahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

APMM, dalam kenyataannya berkata, kematian mangsa kedua hanya dapat disahkan pada jam 5.40 petang susulan kejadian itu pada jam 6.45 pagi semalam.

“Maklumat terkini oleh Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) di Putrajaya, kedua-dua mangsa diterbangkan ke Lapangan Terbang Miri menggunakan pesawat AW189 PETRONAS dan mendarat jam 5.40 petang tadi.”

Kata kenyataan itu kedua-dua mangsa adalah warganegara Malaysia dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
 
APMM berkata identiti kedua-dua mangsa itu tidak dapat didedahkan bagi menghormati keluarga mereka dan mayat mangsa diserahklan kepada pihak polis di Miri untuk tindakan lanjut.
 
 
Sebelum ini, dilaporkan MRCC Putrajaya menerima maklumat kejadian itu daripada pengendali kapal pada jam 6.45 pagi Selasa sebaik menerima isyarat kecemasan daripada kapal tersebut.
 
Terdahulu Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata ketika kejadian, dilaporkan 187 anak kapal berada di atas kapal sebelum 125 anak kapal bertindak terjun ke laut untuk menyelamatkan diri manakala 62 lagi terus berada di dalam kapal.
 

Laporan awal  menyebut seorang anak kapal yang terjun ke laut disahkan meninggal dunia manakala empat lagi hilang.

Bagaimanapun, empat yang dilaporkan hilang ditemukan selamat beberapa jam selepas itu berhampiran kawasan kejadian.

Mohd Zubil berkata, berdasarkan maklumat, kejadian disyaki berpunca daripada satu kabel sauh Dayang Topaz terputus ekoran cuaca buruk.

Menurut beliau, keadaan laut bergelora dan kapal berkenaan tidak dapat dikawal lalu hanyut dan melanggar platform pelantar minyak Beram B.

Katanya, MRCC Putrajaya bekerjasama dalam operasi menyelamat (SAR) membabitkan syarikat carigali minyak Petronas, Shell, Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) serta Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Brunei yang menugaskan pesawat Brunei Shell Petroleum termasuk komuniti nelayan tempatan.

“Aset lain yang terbabit terdiri daripada KM Siagut, KM Siakap dan Bot Penggalang 23 yang ditempatkan di  lokasi kejadian bagi memantau,” katanya.

Ketika kejadian keadaan laut masih bergelora dengan ombak pada ketinggian 3.5 ke 4 meter.

Dalam perkembangan yang sama, memetik The Edge –  Petronas dalam satu kenyataan berkata siasatan mengenai insiden itu sedang dijalankan.

Syarikat itu berkata pihak yang berkaitan dengan kejadian telah memberi maklumat.

“Perkara utama bagi kami adalah mereka yang terlibat dalam insiden ini. Pada masa yang sama kami akan terus memastikan penyaluran pembekalan gas asli tidak terjejas.”

“Petronas amat kesal dengan kejadian ini dan sedih terhadap apa yang terjadi kepada mangsa dan menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa.”

Kapal platform MV Dayang Topaz dimiliki DESB Marine Services Sdn Bhd, sedang bertugas namun satu kabel sauh Dayang Topaz terputus ekoran cuaca buruk.

Keadaan laut bergelora dan kapal berkenaan tidak dapat dikawal lalu hanyut dan melanggar platform pelantar minyak Baram.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button