PalestinSemasa

12 orang lemas ketika cuba dapatkan bantuan yang digugurkan AS ke Gaza

Kumpulan pejuang Palestin Hamas telah menuntut dihentikan penghantaran bantuan ‘airdrop’ selepas 18 orang terkorban ketika cuba mendapatkan bekalan yang dijatuhkan dari udara,  dan mendesak israel menarik balik kepungan kejamnya dan membenarkan bantuan ke Gaza melalui lintasan darat.

Enam orang terbunuh akibat terhempap dan 12 lagi lemas di laut ketika cuba menyelamatkan pakej bantuan, kata kerajaan Hamas dan Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med yang berpangkalan di Switzerland pada Selasa.

Hamas dalam satu kenyataan menggesa agar operasi “airdrop ditamatkan serta-merta” dan “pembukaan segera lintasan darat”.

UNICEF, berkata lebih banyak bantuan perlu dikejarkan ke Gaza melalui jalan darat dan bukannya udara atau laut untuk mengelak “kebuluran yang akan berlaku”.

Jurucakap UNICEF James Elder menegaskan bahawa bantuan yang diperlukan ada di dalam trak yang menunggu untuk merentasi sempadan selatan Gaza dengan Mesir.

Video ‘airdrop’ yang diperoleh Reuters menunjukkan orang ramai berlari ke arah pantai, di Beit Lahia di utara Gaza, ketika kotak bantuan dengan payung terjun terapung di laut, kemudian ada mayat ditarik ke atas pantai.

Di Washington, Pentagon berkata tiga daripada 18 berkas bantuan yang dijatuhkan ke Gaza pada hari Isnin mengalami kerosakan payung terjun dan jatuh ke dalam air, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada sesiapa terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan itu.

AS berkata ia akan meneruskan bantuan ke Gaza walaupun terdapat rayuan daripada Hamas untuk menghentikan amalan itu.

Ia adalah kes terbaru dalam rentetan insiden yang melibatkan kematian semasa penghantaran bantuan di Gaza di mana sesetengah orang mencari rumpai untuk dimakan dan membakar roti yang hampir tidak boleh dimakan daripada makanan haiwan.

Sekeping kertas yang diambil daripada airdrop, ditulis dalam bahasa Arab di atas bendera Amerika menunjukkan bantuan itu adalah dari Amerika Syarikat.

Video turut menunjukkan mayat lelaki muda berjanggut yang diheret ke pantai.

“Dia berenang untuk mendapatkan makanan untuk anak-anaknya dan dia mati syahid,” kata seorang lelaki yang berdiri di pantai.

“Mereka sepatutnya menyampaikan bantuan melalui lintasan (darat). Mengapa mereka melakukan ini kepada kami?”

“Orang ramai mati hanya untuk mendapatkan setin tuna,” kata penduduk Gaza Mohamad al Sabaawi kepada agensi berita AFP, sambil memegang tin di tangannya selepas berebut bungkusan bantuan.

Agensi bantuan mengatakan hanya kira-kira satu perlima daripada bekalan yang diperlukan memasuki Gaza ketika Israel berterusan mengasak dengan serangan udara dan darat yang telah menghancurkan enklaf itu, mendorong sebahagian penduduknya kelaparan.

Mereka berkata penghantaran melalui udara atau laut terus ke pantai Gaza bukanlah pengganti kepada bekalan yang datang melalui darat dari Israel atau Mesir.

Krisis penyampaian bantuan

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres telah menggesa Israel untuk memberikan “komitmen kukuh” bagi akses bantuan tanpa halangan ke Gaza.

Pengagihan bantuan di dalam Gaza telah menjadi rumit, terutamanya di utara, dan bulan lalu tentera Israel membunuh lebih daripada 100 orang yang cuba mengambil bantuan daripada konvoi.

Pengarah komunikasi UNRWA Juliette Touma berkata kejadian lemas yang dilaporkan menunjukkan cara terbaik untuk menyampaikan bantuan adalah dengan trak yang dikendalikan oleh agensi bantuan.

“Laporan tragis yang datang dari Gaza ini merupakan satu lagi petunjuk bahawa cara paling cekap, terpantas, paling selamat untuk mencapai orang ramai dengan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan adalah melalui jalan raya dan pertubuhan kemanusiaan termasuk UNRWA yang bekerja di lapangan,” kata Touma.

SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI

 

Related Articles

Back to top button