Covid19Kerohanian

12 masjid di Perlis dibuka semula

Solat jemaah, program pengimarahan masjid dibenarkan

Sebanyak 12 masjid di kawasan Sanglang, Simpang Empat dan Guar Sanji, di Arau Perlis yang ditutup ekoran penularan Covid-19 sejak tiga minggu lalu dibuka semula berkuat kuasa hari ini.(23 Ogos)

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ibadah solat berjemaah serta aktiviti pengimarahan termasuk kuliah dan lain-lain sudah kembali dibenarkan di masjid-masjid terlibat.

Bagaimanapun titahTuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan khususnya memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal mesti dipatuhi.

“Adalah diingatkan kepada seluruh rakyat agar sentiasa mematuhi sepenuhnya SOP seperti memakai pelitup muka, melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk sebelum ke masjid dan tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal selain disyaratkan sihat tubuh badan tanpa risiko jangkitan.

“Kita semua masih berada dalam suasana berjaga-jaga kerana pandemik ini (Covid-19) masih
lagi ada. Dalam masa yang sama, saya juga ingin meminta semua pengurusan masjid agar sentiasa bersiap siaga dari masa ke semasa membuat persiapan awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan atau keperluan untuk penutupan aktiviti masjid sekiranya diperlukan,” titah baginda.

Masjid yang kembali dibuka masing-masing tujuh di Sanglang iaitu Masjid Al-Rahman, Kampung Simpang Sanglang; Masjid Al-Maghfirah, Sungai Korok; Masjid Darul Salam, Kampung Padang Keria; Masjid Al-Makmur, Kampung Bongor Kudung; Masjid Al-Furqan, Kampung Bunga Emas; Masjid Asy-Syakur, Kampung Permatang Bongor dan Masjid Dato’ Jaafar Hassan, Kampung Sungai Padan.

Di Simpang Empat pula ialah Masjid Putra, Simpang Empat; Masjid Al-‘Ilmi, Sungai Berembang dan Masjid Ameer Fawwaz, Kampung Sungai.

Sementara itu, dalam kawasan Guar Sanji, dua buah masjid yang mula dibuka ialah Masjid Nurul Yaqin, Kampung Chantik Bangun dan Masjid Nurul Muttaqin, Kampung Che Ok. – UTUSAN ONLINE

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button