Covid19DuniaEkonomiKemanusiaan

115 juta penduduk dunia miskin tahun ini!

Akibat pandemik dan kemelesetan ekonomi global

WASHINGTON: Seramai 150 juta penduduk dunia bakal berdepan kemiskinan melampau ekoran kemerosotan ekonomi dan penularan pandemik Covid-19, menjelang tahun 2021.

Bagi tahun ini, peningkatan kemiskinan melonjak ke angka 115 juta penduduk dalam tempoh selama dua dekad, akibat kesan pandemik.

Konflik di serata tempat di dunia dan bencana yang sedia ada diburukkan lagi apabila penularan Covid-19 tercetus, telah memperlahankan pengurangan kadar kemiskinan dunia.

Kadar kemiskinan melampau dunia didefinisikan sebagai seseorang yang hanya mempunyai kurang ASD$1.90  atau bersamaan dengan RM7.89 sen sehari untuk hidup.

Presiden Bank Dunia, David Malpass, berkata dalam satu kenyataan, semua negara perlu pro aktif mempersiapkan persekitaran ekonomi yang berbeza ketika pasca COVID-19.

“Pandemik dan kemelesetan global boleh menyebabkan lebih daripada 1.4 peratus penduduk dunia berada dalam kategori kemiskinan yang melampau.

“Mereka harus biarkan modal, tenaga kerja, kemahiran dan inovasi bergerak ke dalam perniagaan dan sektor baru mengikut perkembangan semasa,” katanya.

Ia bergantung kepada prospek ekonomi global, yang menurut anggaran badan pemberi pinjaman krisis berpusat di Washington itu, berkisar dari penguncupan lima peratus hingga lapan peratus dalam senario paling buruk.

Ini akan membantutkan kemajuan selama puluhan tahun dalam usaha mengurangkan kemiskinan tegar dan penulis laporan itu memberi amaran supaya titik kemiskinan diwujudkan di kawasan yang berdepan krisis ekonomi atau konflik.

Bank itu menegaskan, tindak balas mesti seiring dengan kesan teruk krisis terbabit, termasuk memodenkan pendidikan dan pembelajaran dalam talian serta penggunaan teknologi baru untuk memperluaskan jangkauan perlindungan sosial.

Melihat definisi kemiskinan yang lebih luas, laporan itu mendapati hampir 25 peratus penduduk dunia hidup di bawah garis pendapatan AS$3.20 (RM13.3) sehari.

Selain itu, lebih 40 peratus atau hampir 3.3 bilion penduduk hidup di bawah garis pendapatan AS$5.50 (RM22.85) sehari.

Golongan kemiskinan baharu menurut laporan itu ialah dalam kalangan masyarakat bandar, mereka yang menerima pembelajaran lebih baik dan bukan yang bekerja dalam bidang pertanian. – AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button