Covid19Semasa

101 projek diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan ketika zaman PH

Bersamaan perolehan bernilai RM6.61 bilion

Suasana Dewan Rakyat kecoh petang tadi apabila Menteri Kewangan,  Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mendedahkan Pentadbiran negara ketika diterajui Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan telah meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata perolehan rundingan terus boleh dilaksanakan bagi keadaan tertentu dan menepati beberapa kriteria.

Tengku Datuk Zafrul memberitahu dewan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020.

“Semasa pentadbiran sebelum ini, sejumlah 101 projek atau perolehan bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan,” makluman daripada Tengku Zafrul itu sekali gus mengundang pertikaman lidah antara Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang.

Beliau berkata, antaranya merangkumi perolehan bekalan perkhidmatan membabitkan keperluan mendesak yang berupaya memudaratkan atau menjejaskan kepentingan negara jika tidak dilaksanakan dengan segera.

“Dalam perkara ini, kementerian perlu kemukakan permohonan perolehan secara rundingan terus berdasarkan kriteria berkaitan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan kelulusan sebelum perolehan dapat dilaksanakan sebagai langkah kawal.

Tengku Zafrul menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya sama ada projek secara rundingan terus ketika pentadbiran terdahulu, ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit COVID-19 2020), di Dewan Rakyat, hari ini.

Setelah diberi makluman itu, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) bingkas bangun mencelah meminta Tengku Zafrul untuk mengulangi semula kenyataan berhubung projek rundingan terus itu.

Suasana kemudian bertukar hingar apabila Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang merupakan bekas Menteri Kewangan di bawah pentadbiran PH bangun ‘membela diri’.

Menurut Lim : “Saya terbuka sekiranya YB nak berikan senarai tender-tender yang diberikan bukan secara tender terbuka …ia diluluskan oleh kabinet sepertimana perdana menteri sekarang pun tahu”.

Perbalahan sesama Ahli Parlimen berterusan sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun yang ketika itu mengendalikan sesi berkenaan meminta kesemua mereka duduk dan tidak membenarkan sebarang pencelahan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang juga ketua pembangkang kemudian berdiri dan berkata beliau setuju supaya semua senarai kontrak tanpa tender dihebahkan kepada awam sama ada pada zaman PH atau Perikatan Nasional.

Tidak terhenti setakat itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula bangun bagi menafikan kenyataan Lim.

“Kita ada Menteri Kewangan memberikan butiran jelas bahawa di zaman PH pun berlaku perkara sama. Jumlahnya RM6 bilion dan tidak betul seperti Yang Berhormat Bagan (Lim) kata kabinet tahu …mana ada pembentangan senarai-senarai projek rundingan terus itu.,” katanya.

Keadaan kecoh itu berlanjutan sehingga mengundang Datuk Azhar untuk sekali lagi memberi peringatan kepada kesemua Ahli Parlimen yang bangun bercakap serentak, untuk duduk, namun tidak diendahkan beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang berterusan mengasak meminta penjelasan daripada Tengku Zafrul.

“Tolong duduk! amaran pertama, amaran kedua, duduk, duduk, amaran ketiga, duduk! Saya mahu kamu (Beruas) keluar dewan sekarang sehingga esok baru boleh datang,” tegas Datuk Azhar yang turut memberi amaran kepada mana-mana Ahli Parlimen berdepan tindakan sama sekiranya masih mengganggu perjalanan persidangan.

Gagal mematuhi amaran yang diberikan, tahap bertolak ansur Speaker sampai ke kemuncak sehingga menyaksikan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) diusir keluar dewan dan hanya dibenarkan kembali mengikuti persidangan, esok.

Walaupun mendapat pelbagai kritikan dan mengundang kekecohan, RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020, kemudian diluluskan secara undian suara, untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat

– BERNAMA

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button